Isnin, 5 September 2011

Kerajaan Pusat sedia membantu







Kerajaan Pusat akan terus membela nasib 43,376 petani dan nelayan miskin yang berpendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan di negeri ini, supaya mampu mengubah kehidupan keluarga masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, berdasarkan perangkaan menunjukkan, jajahan paling ramai rakyat termiskin ialah Tumpat diikuti Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok.
“Jumlah yang melebihi 43,000 orang itu berdasarkan bancian terkini yang membuktikan Kelantan adalah negeri paling miskin di negara ini.
“Ia perlu diubah menerusi pelbagai pendekatan dan bimbingan kepada kumpulan sasaran bukan sekadar memberi bantuan supaya mereka mampu berdikari,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembahagian dividen kepada anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gunung di sini.
Seramai 70 petani yang menyertai projek ternakan cendawan secara bersepadu anjuran PPK Gunung memperolehi dividen kedua masing-masing RM200.
Turut hadir, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Ibrahim Mat.
Awang yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pelbagai agensi pertanian yang digerakkan oleh Kerajaan Pusat seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan KADA telah diberi tanggungjawab membantu meningkatkan taraf hidup kumpulan sasaran itu.
Menurutnya, Kerajaan Pusat telah banyak menyalurkan peruntukan kepada kedua-dua agensi tersebut untuk melaksanakan pelbagai projek pertanian seperti menternak lembu dan ayam kampung dengan kos RM10,000 setiap peserta.
Agensi lain, katanya, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga turut membiayai elaun sara hidup RM200 sebulan kepada setiap nelayan yang tinggal di Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh selain memberi bantuan peralatan menangkap ikan, bot dan pukat.
“Kemiskinan yang wujud di negeri ini sebenarnya berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat walaupun diberi peluang memerintah 21 tahun.
“Tiada apa-apa yang dilakukan bagi merubah kehidupan rakyat sebagai suatu evolusi ekonomi di Kelantan, kecuali memberi projek kecil yang hanya terbatas dalam kalangan penyokong Pas sahaja,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...